“Gajah ini bentuknya panjang. Macam batang buluh. Tapi lembut sedikit berbanding buluh”, kata si buta yang meraba belalai gajah.
“Eh, kamu biar betul, aku rasa gajah ini bentuknya macam talam. Lebar dan luas”, bantah si buta meraba telinga si gajah.
“Aku yakin gajah tidak begitu. Gajah pada pengamatan aku bentuknya macam kawah nasi. Lebar dan gendut, macam-macam boleh isi”, tegas si buta tiga yang meraba perut gajah berkenaan.
Akhirnya ketiga-tiga orang buta itu terus berbalah sesama mereka kerana mereka cuba menghuraikan tentang rupa gajah berdasarkan bahagian yang diraba, tanpa meraba keseluruhan tubuh badan si gajah malang itu.
Analogi di atas memang sedia kita maklum. Kisah orang buta dengan gajah sering menjadi perbandingan apabila dalam mana-mana isu, kita cuba memberikan kefahaman berdasarkan maklumat dan gambaran serpihan yang kita ada tentang sesuatu.
MEMAHAMI ISLAM SECARA SERPIHAN
Hal inilah yang banyak menimpa mereka yang mencari dan cuba memahami Islam melalui pembacaan artikel dan pelbagai material yang terdapat hari ini. Bukan salah artikel, dan bukan salah material, malah artikel yang ditulis banyak yang sangat berkualiti tinggi.
Namun membaca apa-apa tajuk secara serpihan, menyulitkan seseorang untuk menilai sesuatu.
“Ustaz, saya memang sangat keliru dengan masalah mazhab ni. Saya pening apabila membaca tentang talfiq”, keluh seorang pelajar.
“Ana dah tak tahu di mana hujung pangkalnya. Ada yang kata syiah macam ini, ada yang kata syiah macam itu. Mana satu yang betulnya?”, seorang lagi siswa menjadi keliru.
“Ana dengar Ibnu Ishaq tu Syiah. Rupa-rupanya sirah yang ana belajar selama ini, bersumberkan mulut Syiah. Betul ke ustaz?”, soal seorang surfer.
“Apa benda yang dibincangkan ini? Ada ke pandangan lain yang tidak menyesatkan golongan Wahabi ini?”, terlopong seorang siswi.
“Sufi? Bukan sufi sesat ke?”, tegas seorang lagi pelajar dengan penuh yakin.
“Ustaz, apa beza antara manhaj dan mazhab? Saya tak faham apa yang ustaz tulis”, komen pembaca.
Inilah contoh label-label serpihan yang menimpa si celik yang meraba-raba Islam dari sudut yang pelbagai.
Sukar untuk saya berikan justifikasi. Saya timbulkan hal ini kerana apabila soalan-soalan di atas diajukan kepada saya, saya tahu ia susah untuk dijelaskan kerana penyoal yang menyoal tiada asas Pengajian Islam, namun terlibat di dalam hal-hal yang rumit.
Saya tidak bermaksud menggesa pelajar berhenti membaca dan mengkaji artikel-artikel tentang Islam yang berlambak di seluruh alam internet dan majalah. Tetapi apabila kita mempelajari Islam secara melompat sana melompat sini tanpa disiplin ilmu, maka inilah kesulitan yang berlaku.
MASUK RUMAH IKUT PINTU
Apabila kita mahu masuk ke rumah, kita tahu yang mana satu pintu depan, yang mana satu pintu belakang. Adakah kita ahli mesyuarat tingkap, atau ahli mesyuarat ruang tamu. Maka kita akan masuk dan keluar pada jalan yang betul.
Namun ada manusia yang masuk ke rumah ikut bumbung dan bukannya pintu depan. Manusia ini adalah pencuri.
Ada juga makluk yang masuk rumah tidak ikut pintu atau tingkap, malah ikut lubang bilik air. Namanya katak puru.
Manusia yang normal, yang betul, akan masuk ikut pintu masuk.
Begitu juga ilmu Islam.
Ada bahagian berfungsi sebagai pintu, ada juga sebagai tingkap.
Kita tentu biasa mendengar tentang istilah ilmu alat. Ia adalah ilmu yang berfungsi seperti memberikan kita alat untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Ia seumpama jala dan perahu bagi nelayan. Atau cangkul dan bajak bagi pesawah. Mungkin juga seperti kalkulator dan alat tulis bagi pelajar Sains.
Antara ilmu alat yang penting, adalah ilmu bahasa Arab. Ghairah mengkaji tentang Islam tetapi gersang dari keinginan mempelajari Bahasa Arab, maka akhirnya Islam kita tinggal Islam terjemahan. Kita berbalah tentang pendapat, hasil bacaan kita terhadap terjemahan semua perkara. Kita sendiri pun tahu, apakah kesan terjemahan kepada maksud asal sesuatu teks.
Saya bukanlah seorang yang terlalu ortodoks, tetapi saya suka menegaskan betapa belajar tentang Islam, bermula dengan belajar tentang bahasa Islam. Tidak semestinya sampai kita mengambil Ijazah Bahasa Arab dan Kesusasteraannya. Tetapi Bahasa Arab tetap alat pertama untuk mengkaji Islam.
TERTIB PENGAJIAN ISLAM
Jika kita masuk ke mana-mana program Pengajian Islam, ia lazim bermula dengan mempelajari subjek ‘Al-Madkhal’ atau pengenalan. Antara teks yang lazim digunakan di universiti, adalah kitab ‘Al-Madkhal ila al-Syariah al-Islamiyyah’ oleh Dr. Abdul Karim Zaidan. Subjek Pengenalan ini mendedahkan pelajar di awal-awal pengajian mereka tentang pelbagai aspek Pengajian Islam.
Pelajar akan belajar terlebih dahulu tentang ciri-ciri Islam yang Rabbaniyyah, Syumuliyyah, ada Tawazun (keseimbangan) dan sebagainya. Di dalam subjek ini juga pelajar akan berkenalan dengan prinsip-prinsip utama di dalam Fiqh, Muamalat, Jinayat, Munakahat dan sebagainya. Ia semacam crush course untuk keseluruhan program Pengajian Islam itu sendiri.
Sama juga dengan bidang perubatan. Sebelum seseorang itu masuk ke peringkat klinikal di tahun tiga, mereka akan belajar dahulu ilmu alat di bidang perubatan. Mereka akan mempelajari anatomi, malah statistik. Sama ada belajar mengikut sistem lama, atau secara integrasi, ada ilmu satu dan dua, sebelum ilmu tiga.
TAFSIR
Di dalam pengajian Islam, sebelum kita mempelajari Tafsir, pelajar belajar terlebih dahulu Ulum al-Quran. Di dalam subjek ini pelajar akan berkenalan dan faham tentang prinsip-prinsip Nasakh Mansukh, ayat mana yang turun lebih awal, Asbab al-Nuzool, Qiraat dan 7 Huruf al-Quran dan sebagainya.
Untuk mengemaskan lagi hal ini, pelajar akan belajar mengenal Manhaj Ahli Tafsir dan kitab-kitab Tafsir yang utama, di dalam subjek al-Tafsir wa al-Mufassirun. Selesai bab ini, barulah subjek Tafsir boleh diambil.
SUNNAH
Tentu sahaja contoh ini lebih jelas jika kita teliti ilmu Hadith. Sebelum kita menganalisa hadith di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, kita harus kenal terlebih dahulu perbezaan antara Hadith Mutawatir dan Ahad, Hadith Sahih, Hasan dan Dhaif, serta ilmu menilai Rijal Hadith. Sudah ada senduk, periuk dan bahan masak, barulah boleh mula menghidang.
Pernah terjadi, seorang pemuda suka sangat mempertikaikan hadith yang orang hujahkan, dengan kata, “apa, hadith tu mutawatir ke? Kalau tak mutawatir, jangan cakap”. Akhirnya orang menyangka yang dia hanya mempercayai hadith mutawatir dan menolak hadith Ahad. Lantas dibahaskan dengan panjang lebar tentang kedudukan hadith Ahad di dalam Aqidah Islam! Sungguh membuang masa, sebab pemuda itu bukannya menolak hadith Ahad, tetapi dia sendiri tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan Mutawatir dan Ahad, Sahih dan Dhaif. Sangkanya, hanya Mutawatir sahaja yang sah dijadikan dalil.
Sungguh membuang masa…!
Pengajian Hadith amat mudah menarik perhatian pelajar aliran Sains kerana ia sesuai dengan orientasi evidence-based yang mendominasi pemikiran. Kesedaran beragama di kalangan pelajar kejuruteraan dan perubatan misalnya, mudah dimanifestasikan melalui minat yang mendalam terhadap hadith atau lebih sedap dibahasakan sebagai Sunnah.
Akan tetapi, mempelajari Hadith Nabi SAW tanpa asas-asas berinteraksi dengan dalil yang lazimnya dibahaskan di dalam ilmu Usul Fiqh, akan menyebabkan pelajar ini cekap merujuk hadith tetapi kaku dalam pemahamannya terhadap hadith yang dirujuk. Usul Fiqh mendesak pelajar untuk berfikir secara yang lebih subjektif dalam mengenalpasti seni-seni memahami nas.
Ia adalah manifestasi rasionaliti dalam memahami nas.
Memasuki Sunnah dengan tongkat tanpa lampu suluh… cepat benar menghasilkan tempang dalam beragama.
FIQH
Di dalam masalah Fiqh, tentunya pelajar akan berkenalan dengan Usul Fiqh terlebih dahulu. Mereka perlu faham tentang kaedah istinbath (ekstrak hukum dari teks al-Quran dan al-Hadith), bagaimana ayat larangan berfungsi sebagai menghukum haram atau makruh, Mafhum Mukhalafah dan sebagainya. Subjek Usul Fiqh juga akan memperkenalkan kepada kita tentang perbezaan pendekatan setiap mazhab, merujuk kepada banyak sebab.
Mazhab yang berkembang di dalam suasana yang dekat dengan sumber hadith seperti Mazhab Maliki, mempunyai pandangan yang berbeza terhadap amalan penduduk Madinah dan memberikan nilai tertentu kepadanya. Mazhab yang berkembang di dalam suasana yang ramai pendusta hadith, memberikan keutamaan kepada ijtihad berbanding dengan soal berlembut di dalam menerima hadith yang bermasalah.
Hal-hal ini selesai terlebih dahulu, sebelum pelajar masuk ke subjek Fiqh. Malah subjek Fiqh juga bermula dengan Fiqh yang bertaraf personal sebelum menyentuh bahagian yang membabitkan muamalah seseorang dengan seseorang yang lain, di dalam Munakahat, Muamalat, Jinayat, Hubungan Antarabangsa dan sebagainya.
Tanpa Usul Fiqh, seorang pelajar yang menyelami dunia Fiqh akan menerima kejutan elektrik berkali-kali, setiap kali beliau terserempak dengan pandangan yang berbeza-beza. Dia akan berserabut dengan perbezaan mazhab, apatah lagi mahu pergi kepada isu perbandingan dan talfiq.
Belajar Fiqh tanpa asas Usul Fiqh akan menjadikan seseorang itu menghafal hukum, tetapi tidak dapat menyerapkan logika hukum dalam corak berfikir.
AQIDAH
Sama juga dalam masalah Aqidah. Pelajar mempelajari terlebih dahulu tentang Aqidahnya, sebelum mengkaji dan meneliti Aqidah kumpulan-kumpulan Islam yang banyak. Masakan dalam keadaan Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah belum jelas, seseorang itu sudah sibuk menganalisa dan mengkritik Aqidah Syiah, Khawarij, Muktazilah, malah Kristian, Buddha dan Hindu.
Campur tangan pelajar di dalam topik perbezaan di antara aliran Sunni dan Syiah, mengundang kefahaman yang caca merba apabila pelajar ini tidak mempunyai asas yang betul tentang Hujjiyah al-Quran, apatah lagi tanpa ilmu Sejarah yang memegang kunci ‘konteks’ bagi sesuatu isu.
Misalnya soal Ibnu Ishaq yang dilabel Syiah. Seorang itu perlu faham tentang beza melaksanakan disiplin hadith ke atas perawi Tarikh dan Sirah, berbanding mengimplimentasikan nya ke atas perawi Hadith. Isu itu adalah subjek yang memerlukan seseorang itu faham di antara matlamat Muhaddith berbanding Muarrikh pada zaman seperti Ibnu Ishaq. Perbezaan matlamat dan pendekatan di antara Qassasin, Muarrikh dan Muhaddith adalah asas penting dalam isu ini.
Begitu juga dengan pengkritik Muhammad bin Abdul Wahhab yang menjaja celaan Nabi SAW ke atas Najd (tempat kelahiran Muhammad ibn Abdul Wahhab itu). Soalnya Najd yang mana? Adakah Najd di Semenanjung Tanah Arab, atau Najd di Iraq? Untuk menyelesaikan hal ini, buku Geografi Islam seperti Mu’jam al-Buldan perlu dilibatkan. Bukan hanya artikel dan buku yang melengkapkan permusuhan…
ISLAM AMALAN VS. ISLAM PERDEBATAN
Saya tidak bermaksud mahu memperlihatkan seolah-olah Islam itu susah dan hanya “orang tertentu” tertentu sahaja yang boleh mempelajarinya. Islam memang mudah, boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja.
Tetapi untuk berkelakuan seperti pengkaji Islam, kenalah berpengetahuan seperti pengkaji Islam.
Ada atau tidak orang yang arif tentang Islam, tanpa ada penat dan lelah sebelumnya? Jawapannya TIADA. Saya menjawab dengan 100% yakin. Orang tua-tua kita pun sudah berpesan, “berakit-rakit dahulu berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian. Tak mahu susah, jangan susahkan orang lain.
NO PAIN, NO GAIN!
Mempelajari Islam untuk menjadi pegangan hidup, berbeza dengan mempelajari Islam untuk campur tangan dalam isu-isu umat Islam.
Apabila seseorang mendatangi permasalahan Syiah melalui pintu politik, tentu sekali dia akan memulakan langkah dengan kekaguman yang menjulang tinggi terhadap keupayaan Khomeini menumbangkan kezaliman Shah Iran. Tetapi politik tetap politik. Allah SWT mempertimbangkan kesahihan Ubudiyyah hamba-Nya bermula dengan pintu Aqidah dan seterusnya Ibadah, sebelum Siasah.
Jika politik hebat, namun Aqidahnya sulit, menumbangkan kezaliman pemimpin yang zalim tiada makna jika gagal menumbangkan kezaliman Syirik yang diistilahkan sebagai sebesar-besar kezaliman oleh al-Quran. Aqidah dahulu, baru ibadah dan siasah.
Sama jugalah dengan isu-isu yang lain.
Maka jika keliru dengan Islam dan isu-isunya, periksalah kembali, anda sebenarnya berada di dalam kekeliruan ini kerana Islam yang mengelirukan, atau anda sendiri keliru antara tingkap dan pintu?
Jika makanan segera membunuh, Islam segera dan pintas juga apa kurangnya!!!!
No comments:
Post a Comment