Masa berlalu dengan cepat meninggalkan kita. 40 atau 50 tahun yang lalu kita seorang bayi yang tidak tahu apa-apa kecuali tangisan. 15 atau 20 tahun selepas itu kita serong remaja yang mempunyai ramai kenalan dan sahabat handai. Kemudian kita menjadi dewasa menempuh banyak pengalaman pahit manis. Dan akhirnya kita menjadi seorang tua yang sudah lemah anggota dan tidak setampan atau secantik dulu. Ketika itu orang ramai sudah menjauhkan diri dari kita, bahkan anak-anak kadangkala tidak suka bergaul atau melayan kita seperti biasa.
Inilah hakikat hidup yang dikatakan tipu daya. Tidak ada yang kekal. Paras yang handsome tak kekal lama, akhirnya berkedut. Gigi yang penuh dan putih berseri lama-kelamaan mula rapuh dan rongak, rambut hitam yang segar kini menjadi putih dan lesu, deria telinga yang tajam mula berkurangan. Begitu juga tubuh yang tampan dah mula lemah dan berpenyakit. Ingatlah amaran Allah telah tiba - bahawa dunia akan meninggalkan kita dan kita sedang menuju alam lain iaitu alam kubur (barzakh) dan kemudian ke alam akhirat yang abadi. Di alam inilah kita akan hidup selama-lamanya. Kita akan tinggal di syurga atau neraka, bergantung kepada amalan semasa hidup di dunia.
Allah bersifat dengan Rahman (Pengasih kepada semua) dan Rahim (Penyayang khusus kepada orang mukmin). Semasa peringkat bayi, Allah tugaskan kepada ibu bapa untuk menjaga dan membesarkan kita. Mereka mengasuh dan mendidik serta mentarbiah dengan akhlak dan agama. Semasa remaja, kita beramal dengan ilmu yang kita perolehi melalui usaha mereka dan juga masyarakat keliling. Ketika dewasa, kita pula menjadi pembimbing kepada anak cucu serta orang-orang lain. Ibarat pokok asalnya benih disirami air, kemudian membesar mengeluarkan bunga dan akhirnya mengeluarkan buah untuk dimakan oleh manusia dan haiwan.
Tetapi apabila kita sudah tua dan tidak bermaya lagi, kita tidak begitu diperlukan. Kita mula disisih dari orangramai. Pergerakan kita terhad. Minda kita mula merosot. Ingatan sudah tidak begitu kuat. Kesihatan kita makin terjejas. Apakah ini menjadi tanda bahawa Allah sudah tidak menyayangi kita lagi? Tidak sekali-kali! Malahan kesayangan Allah tetap sama. Apabila Allah renggangkan manusia daripada kita, itu bermakna Allah hendakkan kita mendampingi diriNya. Supaya hati kita bertambah tertambat dan lebih bertawakkal kepadaNya saja. Penyerahan diri hanya kepada Allah apabila manusia sudah mula renggang dari kita. Masa tua kita banyak menyendiri dan tidak disibukkan dengan pelbagai urusan dunia. Jadi amatlah sesuai untuk kita melipatgandakan amalan sambil bertafakkur, berzikir dan muhasabah diri tentang amalan yang kita buat selama ini. Kita punya masa yang banyak untuk koreksi diri dan bertaubat. Selagi nyawa belum sampai di khalqum (ghargharah), pintu taubat masih terbuka buat kita.
Amalan kita yang biasa kita lakukan semasa muda atau ketika sihat, walaupun sudah tidak mampu dilakukan lagi kerana sudah uzur, namun pahalanya tetap kita perolehi meskipun kita tidak lakukan. Contohnya semasa muda, sudah menjadi amalan atau budaya untuk bersolat jemaah atau menghadiri majlis ilmu di masjid. Tetapi apakan daya amalan itu tidak dapat dilakukan lagi semasa tua. Sungguhpun begitu pahala amalannya itu terus diperolehi walaupun kita tidak membuatnya.
Nabi Muhammad saw pernah berpesan supaya kita merebut 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Di antaranya ialah beramal ketika muda sebelum datang masa tua. Masa muda ialah masa yang amat baik untuk beramal kerana ketika itu badan dan jiwa kita masih kuat. Jadi apabila sudah tua, amal yang kita buat akan terus mengalir walaupun kita tidak membuatnya. Masa muda ibarat masa menanam dan tua ialah masa untuk kita tuai hasilnya.
Meskipun demikian kita seharusnya berdoa supaya tidak menjadi seorang tua yang tidak sedarkan diri. Semakin tua semakin menjadi. Umur sudah menjangkau 50 tapi masih merasakan seolah-olah masih remaja. Usia sudah tua tapi berperangai macam orang muda. Inilah yang kita takuti kerana hati kita mudah terbalik. Nabi pernah bersabda sekiranya umur sudah mencapai 2/3 (40 tahun) tetapi amal kejahatan lebih banyak daripada kebajikan, maka bersiap sedialah (gulung tikar bantal) untuk menempah tempat di neraka. Kita juga seharusnya berdoa supaya umur kita tidak terlalu panjang sehingga menjadi nyanyuk dan kembali seperti perangai bayi yang tidak dapat membezakan sesuatu.
"Ya Allah, kami memohon kepadaMu supaya hidupkan kami sekiranya ia baik bagi kami. Dan Engkau matikanlah kami sekiranya ia baik bagi kami. Janganlah Engkau tarik hidayah yang telah Engkau berikan kepada kami. Ampunilah kami di atas kelemahan kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ya Allah, matikanlah kami dalam husnul-khatimah dan janganlah Engkau akhiri hidup kami dengan suul-khatimah. Akhirkanlah lisan kami dengan kalimah Lailahaillah, semoga Engkau masukkan kami di dalam golongan Abrar. Sepeninggalan kami kelak, ya Allah Engkau jadikanlah anak cucu kami sebagai pewaris Nabi yang menegakkan kalimah dan agamaMu di saat mana manusia telah banyak melupakanMu. Akhirnya Ya Allah, berkatilah saki baki umur kami yang tinggal sedikit ini untuk berbakti kepadaMu dan Engkau redhailah kami menjadi hambaMu.
Amin ya Rabbal Alamin...
No comments:
Post a Comment